Kebelakangan ini, Kabinet Malaysia telah membuat keputusan untuk mengubah bahasa pengantaraan bagi subjek Sains dan Matematik daripada Bahasa Inggeris kepada Bahasa Malaysia. Keputusan ini merupakan suatu pusingan balik bagi sistem pengajaran Malaysia kerana setelah hanya enam tahun sejak PPSMI dilaksanakan, polisi ini telah ditarik balik.
Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), atau dalam Bahasa Inggeris, “The Teaching of Mathematics and Science in English” (eTeMS), merupakan antara polisi-polisi terakhir yang diusulkan oleh bekas Perdana Menteri keempat kita, iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad. Tujuan kewujudan polisi ini, yang telah dimulakan pada tahun 2003, adalah untuk meningkatkan tahap penguasaan rakyat Malaysia dalam Bahasa Inggeris.
Selain itu, banyak buku serta sumber rujukan bagi kedua-dua mata pelajaran ini adalah dalam Bahasa Inggeris. Walaupun pada peringkat sekolah rendah and sekolah menengah buku dalam Bahasa Inggeris tidak perlu dirujuk untuk meluaskan ilmu pengetahuan mahupun penguasaan seseorang murid dalam sesuatu mata pelajaran, tetapi pada peringkat univeristi dan peringkat pra-universiti, buku-buku dalam Bahasa Inggeris perlu dirujuk untuk membolehkan seseorang murid menguasai sesuatu mata pelajaran.
Selain daripada keperluan pelajar pada peringkat pra-universiti dan universiti, pelajar pos-siswazah juga akan mendapati bahawa ia lebih senang untuk belajar dalam Bahasa Inggeris. Hal ini demikian kerana sebahagian besar daripada sumber bagi pembelajaran mereka adalah dalam Bahasa Inggeris. Walaupun buku-buku in boleh diterjemah ke dalam Bahasa Malaysia, namun demikian, masalah dalam proses penterjemahan akan merumitkan kejituan buku terjemahan yang dihasilkan. Selain itu, bilangan buku yang diterjemah tidak banyak, dan karya sains dan matematik dalam Bahasa Malaysia yang dihasilkan oleh pensyarah tempatan amat sedikit.
Pada pandangan saya, polisi PPSMI merupakan suatu langkah dalam arah yang betul bagi sistem pendidikan Malaysia. Namun begitu, polisi ini tidak sempurna, sama ada dalam tujuannya, cara pelaksanaannya mahupun tempoh masa yang dipilih untuk memeriksa keberkesanan polisi tersebut.
Walaupun pada tujuan asalnya PPSMI dilaksanakan merupakan suatu yang pasti akan membawa manfaat kepada rakyat Malaysia secara umumnya (iaitu untuk meningkatkan tahap penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan rakyat Malaysia), tetapi pengajaran mata pelajaran yang amat penting untuk pembangunan Malaysia dalam bahasa yang, secara amnya, dianggap asing bagi masyarakat luar bandar mungkin telah menyebabkan masyarakat yang tidak memahami ataupun melihat kepentingan Bahasa Inggeris dalam hidup masyarakat kini membenci kesemua mata pelajaran yang terlibat; Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris.
Polisi ini tidak diberikan masa untuk memastikan bahawa tenaga pengajar telah dilatih sepenuhnya sebelum polisi ini dilaksanakan. Para guru, yang telah biasa mengajar dalam Bahasa Malaysia, akan mengambil masa untuk menyesuaikan diri dalam suasana mengajar subjek Matamatik dan Sains dalam Bahasa Inggeris. Bagi para guru yang telah menguasai Bahasa Inggeris, sama ada daripada pengalaman bekerja, hasil daripada belajar di luar negara, mahupun dari inisiatif sendiri, mereka mungkin tidak akan menghadapi apa-apa masalah dengan PPSMI. Hal ini juga benar bagi mereka yang diajar dalam Bahasa Inggeris apabila mereka sendiri belajar pada peringkat sekolah menegah dan sekolah rendah dulu.
Selain itu, polisi ini menghadapi tentangan yang hebat akibat daripada sebahagian guru yang enggan mengajar dalam Bahasa Inggeris. Hal ini mungkin atas dasar prinsip, ataupun berdasarkan pandangan seseorang guru bahawa Sains dan Matematik harus diajar dalam Bahasa Melayu, ataupun sebab yang lain.
Salah satu perkara yang juga dibuat pada masa yang kurang sesuai adalah masa yang dipilih untuk memeriksa keberkesanan polisi PPSMI. Adakah enam tahun merupakan tempoh masa yang cukup lama untuk meningkatkan tahap penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan rakyat Malaysia? Polisi ini akan mengambil masa satu generasi atau lebih sebelum keberkesanannya dapat diukur dengan jitu. Paling kurangnya, kita patut menunggu untuk dua puluh tahun sebelum membuat keputusan untuk menyemak polisis PPSMI. Hal ini kerana setiap murid dalam system pendidikan Malaysia akan mengambil masa sebelas tahun untuk menyiapkan proses pembelajaran di sekolah rendah and menengah. Sembilan tahun patut diperuntukan lagi untuk memastikan bahawa data yang dikumpulkan merupakan data yang jitu dan unsur rawak dikurangkan.
Jikalau kita berasa bahwa polisi PPSMI merupakan polisi yang kurang sesuai untuk rakyat Malaysia dan kita tidak sanggup melabur dua puluh tahun untuk menguji keberkesannya, kita sepatutnya tidak mengambil langkah yang telah (dan masih sedang) memberikan impak kepada ramai murid dalam system persekolahan Malaysia. Walau bagaimanapun, nasi telah menjadi bubur.
Malahan, proses transisi yang akan diambil untuk menukarkan bahasa pengantaraan dari Bahasa Inggeris kepada Bahasa Malaysia juga kurang difikirkan oleh pihak atasan. Salah satu langkah yang akan diambil adalah menukar bahasa pengantaraan pada tahap pendidikan yang berbeza, iaitu, Tahun Satu, Tahun Empat, Tingkatan Satu serta Tingkatan Empat. Walaupun proses ini dihasilkan untuk meminimumkan impak kepada para murid and pengajar, tetapi, pada pandangan saya, proses ini tidak akan mengurangkan impak. Sebaliknya, ia akan mengganggu pengembangan murid dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.
Bayangkan keadaan murid-murid dalam sistem persekolahan kita – setelah tiga, enam, atau sembilan tahun belajar Sains dan Matematik, mereka akan menukar bahasa pangantaraan bagi kedua-dua subjek tersebut kepada Bahasa Malaysia. Golongan yang akan menerima kesan terbesar merupakan golongan yang akan terpaksa menukar setelah belajar dalam Bahasa Inggeris selama sembilan tahun. Malahan, langkah ini merupakan langkah yang hanya setengah masak; Selepas belajar dalam Bahasa Malaysia selama dua tahun, murid-murid ini akan menukar bahasa pangantaraan mereka daripada Bahasa Malaysia kepada Bahasa Inggeris untuk pendidikan pra-univerisiti dan untuk pendidikan peringkat universiti.
Selepas membuat keputusan yang membolehkan pelejar-pelajar yang akan menduduki SPM pada tahun 2013 dan 2014 untuk memilih sama ada mereka mahu menjawab dalam Bahasa Inggeris atau Bahasa Malaysia, ramai murid telah dapat bernafas lega. Walau bagaimanapun, bahasa pengantaraan bagi kelas mereka mungkin akan dijadikan Bahasa Malaysia, disebabkan guru mereka lebih suka mengajar dalam bahasa tersebut. Guru-guru boleh berbuat demikian tanpa menghiraukan permintaan murid-murid mereka mahupun ibu bapa murid-murid tersebut. Hal ini memudaratkan bagi murid-murid mereka kerana mereka akan dipaksa belajar dalam bahasa yang mereka kurang senang menggunakan.
Salah satu hasil yang dinantikan yang tidak dapat dinafikan ialah keputusan murid-murid luar bandar dalam Sains dan Matematik akan bertambah baik kerana mereka akan dapat belajar kedua-dua mata pelajaran tersebut dalam bahasa ibunda mereka. Namun begitu, jikalau mereka tidak dapat menguasai Bahasa Inggeris, mereka akan mangalami kesusahan apabila belajar pada peringkat pra-universiti nanti; walaupun Kerajaan telah membuat keputusan untuk menukar bahasa pangantaraan bagi sekolah rendah dan sekolah menengah balik kepada Bahasa Malaysia, namun bahasa pengantaraan bagi kedua-dua subjek tersebut masih merupakan Bahasa Inggeris bagi program Tingkatan 6 dan Matrikulasi.
Adakah menukar dari satu bahasa kepada bahasa yang lain merupakan tindakan yang wajar diambil oleh kerajaan Malaysia? Pada pandangan saya, jawapannya tidak. Terdapat pelbagai penyelesaian untuk keadaan yang kita dalam ini. Dengan melihat negara lain yang berada dalam keadaan yang serupa dengan keadaan kita, kita mungkin akan dapat mengambil ilham daripada mereka.
Negara Hong Kong merupakan salah satu daripada dua wilayah autonomi dalam Negara Cina, dan akan dapat menentukan sistem pendidikan mereka sehingga tahun 2050. Setelah Hong Kong dikembalikan kepada Negara Cina, kerajaan Hong Kong dan Cina telah mengambil langkah untuk memupuk perpaduan antara penduduk Hong Kong dengan penduduk Negara Cina secara umumnya. Salah satu langkah yang diambil ialah menukar bahasa pangantaraan bagi mata pelajaran sains dan matematik di Hong Kong daripada Bahasa Inggeris kepada Bahasa Mandarin.
Namun begitu, akhir-akhir ini, kerajaan Hong Kong telah mengambil langkah untuk mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, dan juga untuk menambah bilangan jam murid-murid diajar dalam Bahasa Inggeris. Alasannya? Ramai ibu bapa di Hong Kong berpendapat bahawa sekolah yang mengajar dalam Bahasa Inggeris merupakan sekolah yang lebih baik, dibandingkan dengan sekolah yang menggunakan Bahasa Cina sebagai bahasa pengantaraan mereka. Walau bagaimanapun, bagi peperiksaan-peperiksaan umum di Hong Kong, jawapan untuk mata pelajaran Sains dan Matematik boleh ditulis dalam Bahasa Inggeris atau Bahasa Cina.
Jika kita mengambil ilham daripada keadaan ini, kita mungkin akan dapat menyelesaikan masalah kita. Murid-murid yang belajar dalam sekolah harus diberi peluang untuk memilih bahasa yang mereka mahu diajar dalam, serta bahasa yang mereka akan gunakan untuk manjawab kertas ujian mereka.
Ada tak ibu bapa yang tidak mahukan anak-anak mereka berjaya dalam hidup? Semua ibu bapa pasti mahukan anak-anak mereka berjaya dalam hidup. Dalam era globilasi ini, penguasaan Bahasa Inggeris amat penting jika seseorang mahu berjaya dalam hidup. Kesimpulannya, kita perlu memastikan bahawa tahap penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan penduduk Malaysia meningkat, tetapi pada masa yang sama, kita perlu memastikan bahawa semua orang diberi peluang untuk belajar Sains dan Matematik dalam bahasa pilihan mereka.
7 years ago
No comments:
Post a Comment